Wednesday, January 26, 2011

INILAH MAKNA BAHAGIA

Assalamualamualaikum,

Setiap orang mempunyai erti kebahagiaan mereka sendiri. Aku juga punya pendapat sendiri; berbeza dengan orang lain, lalu terpanggil untuk mencari apakah sebenarnya yang dikatakan kebahagiaan dan bagaimana nak memperolehinya? Susah sangatkah nak temui kebahagiaan?

Artikel di bawah aku temui dari laman web.  Sangat menarik cara pengupasannya dan rasanya amat tepat sekali apa yang diulas. Bagaimanapun terpulang bagaimana kita menghayati dan mengambil iktibar darinya.


INILAH MAKNA BAHAGIA…
Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, aku layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

• Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.  
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
 Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
 Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang …
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
• Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah
hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
• Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. 
Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.
KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:
1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)
6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, tolong rujuk kembali entri dalam blog ini dalam tajuk: Mencari Ketenangan Hati)
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selain berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!
Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.
Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.

Bukan mudah mencapai ketenangan apalagi kebahagiaan. Menuntut pengorbanan dan pengertian yang tinggi. Mulakan dengan mengenali Cinta Allah. 
Bagaimanapun tak semudah dikata, banyak rintangan dan banyak gangguan di hati kita.....
Pelihara hati.....Andai setelah hati dipelihara masih belum berjumpa bahagia, pertingkatkan lagi usaha mendekatkan diri dengan Allah dan ingatlah mungkin sekarang Tuhan belum memberi kebahagiaan itu untuk kita kerana Dia menangguhkannya untuk nikmat yang lebih bermakna kemudiannya.


Tuesday, January 25, 2011

SUSAH SANGAT KE NAK MAAFKAN?

Terbaca satu artikel tentang tajuk di atas, harapan supaya aku terus mempunyai sifat pemaaf sebagaimana sifat dibawah yang dinyatakan dalam artikel yang kubaca.

"Sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)


Maafkanlah ..dengan memaafkan seseorang itu belum tentukan merendahkan martabat kita..malah lebih mulia disisi Allah

Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91)


Hati akan lebih tenteram dan damai bila kita jadi seorang pemaaf, seorang pemaaf juga menunjukkan betapa dia seorang yang matang.


Tak kira la apa sekali pun dosanya, kita tak layak menghukumnya,Sapa kita ? Tak kira la sapa orang itu, kekasih, bekas kekasih, kawan, suami, isteri, kenalan maya, apatah lagi ada yg tidak mahu maafkan ahli keluarganya.


Kalau kita beriman pada Allah, nescaya kita akan jadi seorang pemaaf, seorang pemaaf adalah seorang yang kuat jiwanya, dia mampu terima apa saja dugaan yang datang padanya, kerana dia percaya, dia hanya hamba Allah ! sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.



Pelikkan, kita marah, kita bertengkar, kita sakit hati, sampai ada yg berdendam kesumat hanya semata-mata kerana hal dunia, asbab dunia, sekali lagi D U N I A.. walhal kita tahu, bagaimana pun kita berusaha bagai nak rak, akhirnya dunia ni akan tinggal je.
Hatta bila kita dipanggil pulang, 'uniform' kita sama, warnanya putih belaka. dari setinggi gelaran Tuanku, hatta sampai kepaling rendah, hamba abdi, malah saiz lubang lahad juga sama. tak ada bedanya.
Kadang-kadang jadi pelik , kenapa sukar sangat kita nak memaafkan seseorang ? Apakah kelebihan kita yang lebih dari dia ? Adakah kita lebih mulia atau lebih tinggi darjat berbanding orang lain ?

Tapi yelah, bukan semudah dikata, mungkin kita menderita atas perbuatan mereka, sakit hati, sakit fizikal, tapi seperti mana awalnya, hanya kerana hal dunia, kita bina tembok yang menyusahkan kita untuk berurusan diakhirat kelak, kita tak maafkan siapa saja yang tidak memuaskan hati kita, lalu, esok, bila orang lain telah selesai urusan kita masih menunggu dan mencari-cari mereka yg pernah kita sakiti dan menyakiti kita untuk menuntut dan dituntut hak."

Menarik bukan artikel di atas. Baik untuk minda dan peringatan pada diriku supaya sentiasa memaafkan. Tetapi seperti dinyatakan di atas juga ; bukan semudah dikata....hati yang terluka entah bila sembuhnya. Tatkala ia seperti telah sembuh, ia mungkin dilukai lagi...mampu kah ia disembuhkan lagi  dan mampukah parutnya hilang....

Hanya Allah sahaja yang tahu...Dia mengatur segalanya....Aku hanya mampu bermohon agar mampu memaafkan dan melupakan serta mampu mengukir senyuman yang tulus lagi....






Monday, January 24, 2011

APA ADA DENGAN CINTA

Hari ni tetiba nak tahu apa ada dengan cinta. Saja surf around jumpa macam2 falsampah pasal cinta.
Tertarik dengan beberapa coretan tentang cinta yang aku jumpa.


Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit,bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus,tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur,di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.~ Hamka

"Cinta dikatakan bergerak dari titik yang lebih tinggi menuju titik yang lebih rendah. Serupa dengan hal tersebut,maka jika cinta kepada Tuhan tumbuh di dalam hati kita, itu pertanda Cinta Tuhan kepada kita. Seperti yang dikatakan seorang sufi, “Pada mulanya, aku keliru dalam empat hal. Aku mencoba untuk mengingat Allah, mengetahuiNya, mencintaiNya, dan mencariNya. Sesampainya di tujuan, aku melihat ternyata Ia mengingatku sebelum aku mengingatNya, pengetahuanNya tentang diriku mengalahkan pengetahuanku tentangNya, cintaNya padaku sudah ada sebelum cintaku padaNya, dan Ia sudah mencariku sebelum aku mencariNya”

Cinta datang kepada orang yang masih mempunyai harapan walaupun mereka telah dikecewakan. Kepada mereka yang masih percaya, walaupun mereka telah dikhianati. Kepada mereka yang masih ingin mencintai, walaupun mereka telah disakiti sebelumnya dan kepada mereka yang mempunyai keberanian dan keyakinan untuk membangunkan kembali kepercayaan.

Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat.

Permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temukan di dalam dirinya.

Kata-kata cinta yang lahir hanya sekadar di bibir dan bukannya di hati mampu melumatkan seluruh jiwa raga, manakala kata-kata cinta yang lahir dari hati yang ikhlas mampu untuk mengubati segala luka di hati orang yang mendengarnya.

Cinta adalah bahagia kerana dapat membahagiakan...

Cinta bukannya mencari seseorang yang “SEMPURNA”, tetapi menemukan seseorang yang mampu menjadikan dirimu sempurna.

MACAM-MACAM HAL DENGAN CINTA. APA ADA DENGAN CINTA? CINTA ADALAH CINTA. Entahlahkan.....Walau apapun taksirannya, cinta memerlukan hati yang ikhlas. Ikhlas memberi dan ikhlas menerima. Selebihnya hanya Allah yang tahu.

Cinta pada Allah dan Rasullullah pasti membawa kebahagiaan.  Peringatan pada diri sendiri yang sering mengabaikan cinta Allah.  




Friday, January 21, 2011

Pengubat dan Penenang Hati


Doa ketika sedih dan berdukacita;


Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.


Doa permudahkan segala urusan;

Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.


Daripada Kaab bin Iyad lah.a. katanya. Aku mendengar bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sesungguhnya bagi tiap-tiap umat itu ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta" (Riwayat Al-Tarmizi)

Allah s.w.t. berfirman "Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram" (Surah Ar-Rad:28)

Allah s.w.t. berfirman "Tiadalah terjadi sesuatu bencana itu melainkan dengan kehendak Allah, dan siapa yang percaya kepada Allah nescaya dipimpin Allah hatinya" (Surah At-Taghabun: 11)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Tiada dikira Mukmin yang sempurna keimanannya, orang yang tidak menganggap bala itu nikmat dan kemewahan itu musibah (bala)" (Riwayat al-Tabrani)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Siapa pada suatu malam dia mengalami kesakitan dimana dia bersabar dan redha kepada ketentuan Allah s.w.t. maka terkeluarlah dia daripada dosa-dosanya seperti keadaan dikala dia dilahirkan ibunya" (Riwayat Al-Hakim)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Siapa yang pada petang harinya berasa letih dari amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya" (Riwayat Al-Tabrani dari Ibn Abbas lah.a.)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah"

Yakinlah bahawa apabila Allah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu.

Bukan mudah bagi seorang hamba Allah mengerakkan hati dan lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah berasa kefakirannya di hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-benar berhajat kepada-Nya, maka Allah pasti tidak akan mengecewakan hajat kita itu.

Tuesday, January 18, 2011

STRESS, PUNCA DAN CARA MENGATASINYA

STRESS: 
-    Tekanan atau tindakbalas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan
-    Kemurungan, sedih, runsing, bimbang, berbagai masalah tingkah laku, kesihatan terganggu
-    Situasi yang tidak selesa  yang manasetiap manusia mengalaminya secara dalaman.
-    Perasaan Tegang, takut, marah dan kecewa
-    Mental, Fizikal dan Emosi

2 Jenis Stress :
    a. Eustress - boleh sesuaikan diri,
                     - stress yang membina
                     - Tekanan ringan dan bersifat konstruktif yang dapat mempertingkatkan produktiviti peribadi,
                        meransangkan minda dan tubuh seseorang untuk lakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya.
                     - Hormon adrenalin diermbes dengan cepat meransang tindakan pantas
    b. Distress - Tidak boleh sesuaikan diri
                     - boleh merosakkan diri
                     - Tekanan teruk yang bersifat destruktif
                     - Jangkamasa panjang akan menghadapi kerosakan mental dan fizikal.
                     - Tindakbalas atau reaksi terhadap ancaman perubahan mahupun persaingan
                     - Tindakbalas untuk menentang atau melarikan diri bila tergugat atau kebingungan

Semua orang mengalami stress.
Kenapa ia berlaku? Punca
Cara penerimaan terhadap persekitaran.
Bagaimana menangani stress?


Symtom:

i.     perasaan bimbang, takut moody, mudah terasa.
ii.    pelupa, bimbang masa depan, mudah tersinggung, takutkan kegagalan/ kesilapan, rendah diri, sentiasa
      berfikir, ketidakupayaan memberi tumpuan
iii.   hilang selera makan, gagap/gugup, merokok, menangis tanpa sebab, mengetap gigi, mengambil alkohol/    
      dadah, ketawa kuat/ nada suara gementar
iv.   kebimbanagn, keliru dan kurang daya tumpuan, sukar kawal diri, perubahan diri, susah nak tidur, mudah
      terpengaruh, sukar membuat keputusan, kurang minat terhadap aktiviti harian
v.   bercakap cepat dan kuat, suka gigit jari, kerap menggerakkan jari, letih, perasaaan negatif.


Kenali punca dan tahap stress anda!
Berikan skala kepada tahap stress anda. Catat  dan tandakan  di mana kesakitan (stress) tersebut di rasai dengan melukis model diri anda. Adakah  sterss tersebut dirasai di hati, kepala, tangan, kaki atau di mana sahaja yang berkaitan dengan stress dan tindakbalas anda ketika stress.
Tahap yang dirasai contoh guna skala 1- 10

i. Tandakan  keseronokan yang dirasai dengan warna biru, catit peristiwa, bila, mana berlaku dan berikan skala 1-10
ii. Tandakan perasaan marah yang dirasai dengan warna merah, catit peristiwa, bila, mana berlaku dan tindakbalas anda dan berikan skala 1-10
iii. Tandakan perasaan sedih anda dengan warna hitam, catit peristiwa, bila, kenapa dan berikan skala 1-10

Teknik menangani stress:

1. Kenali tahap stress anda
2. Sedar reaksi sendiri: apa yang anda lakukan setiap kali anda rasa  stress
3. Teguhkan positif self statement
4. Fokus kepada pencapaian terbaik
5. Elakkan persaingan yang tidak perlu
6. Tingkatkan tingkah laku yang asertif
7. Kenalpasti dan terima kekurangan diri
8. Setiap orang unik dan berbeza
9. Hobi; rileks dan enjoy
10. Kerap riadah
11. Pemakanan seimbang
12. Bercakap dengan orang yang dipercayai

Cara Mengatasi Stress: 

1.     Bertenang : bercakap dengan diri sendiri dengan perkataan-perkataan semangat dan berikan tepukan pada diri sendiri
2.      Bernafas dengan dalam sambil berkata: relakslah  atau perkataan-perkataan lain yang memberikan semangat serta menenangkan anda.
3.       Berurut: urut sendiri, diurut
4.       Beribadat
5.       Bercakap dengan seseorang
6.       Pengurusan masa dan kerja
7.       Pengurusan rehat: rehat yang cukup dan pastikan ada waktu rehat walau sibuk bekerja sekalipun.Sekurang-kurangnya berehat sebentar waktu makan tengahari.
8.       Riadah
9.       Berfikiran positif
10.     Pengurusan diri: kebersihan diri, pakaian
11.     Menjaga kesihatan
12.     Bersenam: senaman ringan dan tidak terlalu agresif untuk menjaga jantung anda
13.     Jaga berat badan dan pemakanan
14.     Jaga perhubungan baik dengan orang lain: jika timbul masalah berbincang atau dapatkan bantuan orang tengah/ kaunselor
15.     Belajar untuk mengasihi diri sendiri : hargai  diri. Anda bukan lilin sebaliknya matahari. Lilin menerangi tetapi memusnahkan diri sendiri, tetapi matahari terus menerangi.
16.     Bersikap optimis: anggap musibah yang berlaku sebagai penghapus dosa atau sebagai hukuman atas kesalahan yang lalu atau sebagai ujian ke atas insan yang mampu ditangani.
17.     Ciptakan suasana dan persekitaran yang menarik: pencahayaan yang bagus, bau-bauan yang menyenangkan, alunan muzik yang lembut dan menenangkan
18.     DOA
19.     Ziarahi orang-orang yang kurang bernasib baik. Kita akan lebih insaf dengan kehidupan ini.
20.     Mengalah sesekali: tenang dan rasional. Beri kesempatan untuk orang lain kemukakan pandangan
21.     Ketawalah dan berseronoklah
22.     Tataplah wajah/ barang pemberian orang yang dikasihi: kaabah, quran, ibubapa, guru, laut,
23.     Mandi wap
24.     Bertemanlah dengan orang yang berilmu
25.     Menjauhi nafsu amarah
26.     Senyum dan menyebarkan salam
27.     Bertukar kerjaya


Banyak betul tips mengatasi stress yang dah di senaraikan. Tak semestinya semuanya kita buat sekaligus. Buatlah yang termampu. Bersabar, bertawakkal dan redhalah. InsyaAllah kita akan lebih tenang. Kalau tak percaya lepas dah cuba teknik-teknik di atas cubalah buat skala stress model diri anda tadi. Lihat samada stress tersebut telah berkurang atau tidak.

Nanti saya update lagi dengan tips-tips mengatasi stress yang boleh dipraktikkan.
Saya pun masih mencuba tips di atas. Alhamdulillah setakat ini saya mampu harungi dugaan hidup dengan tenang  dan tidak terlalu di bawa oleh rasa kecewa, sedih atau marah.  

Selamat mencuba!